Sunday, July 1, 2012

I Julai 2012

Ketika imi, tepat jam 12 tengah malam. 1 Julai 2012.

Genap setahun abah meninggalkan saya, mak dan juga 7 orang adik di bawah saya.

Pada ketika ini, saya masih di pejabat. Seorang diri menyiapkan kerja yang urgent. Perlu dihantar sebelum jam 4 pagi ini melalui emel.

Sedikit mengantuk. Tetapi tersasa masih bersemangat meneruskan kerja. Pulang ke rumah sebentar setelah matahari terbit esok pagi dan akan datang semula ke pejabat selepas itu. 

Inilah jihad saya.

Malam ini terasa mahu meneliti kembali beberapa surah yang telah saya hafal dan ingin menyambung kembali hafalan surah yang sudah lama saya tinggalkan.. Saya sendiri pelik dengan diri sendiri, bagaimana saya memulakan ini semua. Saya tidak dibesarkan di dalam keluarga yang 'islamik' seperti kebanyak orang. Saya berhijrah di pertengahan jalan musafir ini..

Cuma, saya paling mengingati doa ketika mana saya masih di bangku sekolah agar Allah mengurniakan saya kesempatan dan ruang untuk sentiasa berjumpa dengan orang-orang yang baik. Saya berdoa agar saya didorong menjadi lebih baik dan saya menjadi manusia yang luarbiasa hebat.

Saya amat mengingati doa itu.. dan saya yakin Allah telah menetapkan sesuatu yang terbaik buat diri ini.

......

Kini, setelah beberapa tahun keluar dari 'dunia lama', saya berada di dunia baru. 

Perubahan 180 darjah sememangnya mengejutkan teman-teman yang mengenali diri saya ketika di bangku sekolah. Saya begitu berbeza bagi mereka.

Mungkin. Saya pun tidak pasti.

Saya cuma seorang yang biasa yang sentiasa bercita-cita menjadi luarbiasa dan saya sedang membina luarbiasa itu dengan izinNya. Ia tidak mudah kerana perjalanan yang masih jauh dan liku besar dan mencabar masih banyak belum kelihatan di mata. Cuma sekadar mengetahui kewujudannya, tanpa tahu kedudukan sebenar setiapnya.

Setahun ini saya melalui tarbiah kehidupan yang agak mencabar. Belajar perkara yang terlalu banyak untuk diceritakan satu per satu.. Saya juga gemar melihat dan mengenali manusia dan belajar dengan mereka. Saya mahu belajar 'cara hidup yang betul'. Apa yang boleh saya lakukan dan tidak boleh saya lakukan di sepanjang hidup saya yang singkat ini.

Teringat cetusan seorang teman yang sentiasa diingati:

"Kejayaan yang dicapai dalam kehidupan adalah dengan menjadikan akhirat sebagai objektif utama dalam hidup."

Ya benar sekali. 

Kata-kata itu kembali meneutralkan minda saya. 

Apa sahaja, setiap perkara yang saya ingin capai, setinggi gunung, sedalam gaung yang tirus menjunam, mahupun seluas laut yang terbentang saujana mata memandang segalanya hanya kepada satu. Allah.

Akhirat yang abadi.

Ya Tuhanku yang Maha Penyayang, lagi Maha Mengetahui.. Segala ketetapanMu adalah yang terbaik buatku..aku mohon dengan izinMu untuk kekal dan terus menerus mendoakan diri ini menjadi insan luarbiasa yang menjadikanku sebagai salah seorang pejuang barisan hadapan bagi menjulang agamaMu yang tersangat mulia dan indah ini. Amin, amin..amin ya Rabb..

Ampunilah dosa-dosaku yang terlampau banyak ini..dosa-dosa kedua ibu bapaku..dan sanak saudaraku, guru-guruku yang memberi ilmu..jiran tetanggaku yang teramat ringan membantu.. teman-temanku yang sentiasa aku hargai dan semua yang pernah mengenaliku..Limpahkanlah rahmat keampunan, perlindungan, kemudahan serta kesejahteraan yang kekal abadi di dunia dan juga di akhirat. Amin ya Rabb.


Hamba kepada Pencipta Yang Maha Agung
nEmo.


No comments: