Wednesday, June 8, 2011

Mula mencatat, bagi mengembalikan.

Kenangan dulu kerap bermain di fikiran hari ini. Mungkin gelora fikir dan emosi tidak sekata lantas semuanya kerap kali hadir, dan ia mengimbas begitu banyak peristiwa silam.

Diri ini melihat adik yang tidak pernah rengang, setiap ketika bersamaku. Melihat jauh ke dalam jiwanya, ternyata masih begitu banyak perkara yang aku belum mengerti tentang dirinya. Lantas teringat pula kepada adinda yang jauh di mata, masih belajar dan tidak jauh beza umurnya dari diriku. Berbeza benar. Mereka berdua ini ku kira unik, dan merupakan teman 'gaduh'ku semasa kecil. Kerap kali tersenyum sendirian teringatkan kisah mereka bersamaku. Aku rindukan kenangan dulu. Ya amat rindu.

Teringat pula akan adik bongsu dirumah yang umurnya baru sahaja menjangkau 3tahun bulan ini. Rinduku padanya kerap kali terubat apabila mendengar suara celotehnya dari telefon yang direbut dari mak. Dia memang begitu. Mak hanya membiarkan sahaja dia berceloteh. Banyak yang ingin dikatakannya yang mana semuanya maklumat yang sama pada setiap kali dia bercakap melalui telefon denganku. Layan sahaja :)

Di saat menaip coretan ini, guruh saling menyambut cahaya kilat di luar pejabat. Mungkin jika di kampung halaman ketika ini, aku akan duduk bersama mak dan adik berbual-bual di tepi tingkap mengenai kisah kami semua semasa kecil. Menghirup bau hujan di kampung amat segar dan menenangkan. Di kota seperti ini tidak mudah bagiku merasa nikmat itu lagi.

Ah, aku perlu pulang mengubat jiwa ini. Rindu rindu itu semakin menggangguku.

Sepi disini setelah berpisah dengan teman-teman lama. Mendiamkan diri, memanggil hati tatkala ia lari.

Aku mahu pulang...!


nEmo
Learning Station @ Pejabat Yang Best

No comments: