Sunday, March 29, 2009

Apabila suhu berubah


Pemanasan dunia, ataupun “global warming” merupakan suatu masalah kini yang amat serius dan membimbangkan. Satu kenyataan yang benar yang mahu saya ungkapkan ialah, tidak ramai yang menyedarinya. Isu ini amatlah TIDAK popular jika dibandingkan dengan isu-isu HANGAT semasa. Kebimbangan terhadap perubahan suhu dunia ini kelihatan seperti tidak penting oleh kerana itu ia seperti tidak dipedulikan.

Ia tidak seperti jerebu, yang jelas telah menjejaskan kualiti udara dan kesihatan pernafasan yang memaksa pemakaian topeng pernafasan di mana-mana. Ia juga tidak seperti tsunami yang melenyapkan segala benda saujana pemandangan hanya dalam beberapa saat, dan ia juga tidak seperti gempa bumi yang sangat dahsyat sehingga merubah fizikal geografi sesuatu kawasan.

Tahukah anda, hanya dengan meningkatnya suhu bumi dalam beberapa darjah Celsius bakal mengundang krisis makanan yang dahsyat suatu hari nanti? Makanan ialah asas kehidupan. Percayakah anda jika saya nyatakan demikian? Ia telah bermula di beberapa kawasan dan jangan bimbang, KITA juga mungkin akan menghadapinya suatu hari nanti. Akan tetapi , buat masa ini saya masih belum berminat untuk mengulas tentang masalah ini di sini.

Apa yang ingin saya sentuh ialah berkenaan tentang betapa rakyat negara ini yang amat tidak peduli mengenai alam sekelilingnya, iaitu isu alam sekitar. Realitinya, rata-rata rakyat Malaysia masih daif kesedarannya tentang isu-isu alam sekitar serta masalah yang bakal mereka hadapi tidak lama lagi. Sebabnya? Tanyalah pada diri sendiri. Lihat sahaja pada masalah sampah (sisa pepejal), masalah pencemaran air yang semakin parah, kualiti udara yang semakin menurun serta yang agak kontroversi saya kira merupakan masalah ketidak terbukaan “negara ini” terhadap maklumat alam sekitar serta isu-isu mengenainya. Saya akan sentuh isu-isu ini di lain waktu, insha-Allah.

Kesan rumah hijau (greenhouse effect) yang mengakibatkan peningkatan suhu di bumi asalnya merupakan satu proses semulajadi yang penting kerana melalui proses ini, suhu bumi dapat ditingkatkan seperti kini. Tanpa kesan ini, suhu bumi yang sebenar adalah terlalu sejuk iaitu sekitar -17 darjah celcius dan ini semestinya tidak sesuai untuk kehidupan yang ada sekarang untuk wujud.

Apakah yang dimaksudkan dengan kesan rumah hijau? Secara ringkasnya, “kesan rumah hijau” ini berlaku dengan pemerangkapan haba dari pancaran cahaya matahari oleh gas-gas tertentu yang terdapat di dalam atmosfera. Gas-gas seperti karbon dioksida (CO2), metana (CH4), Choroflorocarbon (CFC) dan ozon (O3) ini akan menyerap haba lalu memerangkapnya supaya ianya tidak terbebas ke ruang angkasa. Walaupun gas-gas rumah hijau tersebut hanyalah kira-kira 3% daripada jumlah keseluruhan gas yang terdapat di atmosfera, ia mampu meningkatkan suhu bumi.

Dan kini, masalahnya ialah kuantiti gas rumah hijau ini bertambah dan semakin bertambah dengan pesatnya akibat daripada aktiviti-aktiviti manusia terutamanya sejak 50 tahun yang lalu. Kini, seperti yang dilaporkan secara puratanya suhu permukaan bumi telah bertambah sebanyak 0.76 darjah celcius semenjak tahun 1850 an. Saintist juga telah meramalkan jika tiada tindakan dijalankan bagi mengurangkan pembebasan gas-gas ini, suhu bumi akan bertambah sebanyak 1.8 sehingga 4 darjah celcisus. Malah jika keadaan semakin tidak terkawal, suhu boleh mencecah peningkatan setinggi 6.4 darjah celcius pada abad ini!

Kempen tahunan yang akan dijalankan pada 28 mac ini anjuran WWF (World Wildlife Fund) iaitu “earth Hour” akan berlangsung dengan penglibatan kira-kira 80 buah negara yang terdiri daripada 930 buah bandar serata dunia. Ia adalah kempen besar besaran yang dijalankan bagi menunjukkan kebimbangan terhadap peningkatan gas rumah hijau dan suhu bumi kini. Suara sokongan dari penglibatan ratusan juta manusia terhadap kempen ini dari setiap 25 zon waktu serata dunia diharapkan akan memberikan tekanan kepada AS dan negara-negara Eropah supaya mengurangkan pembebasan karbon dioksida mereka yang kini merupakan 50% daripada pembebasan karbon dioksida dunia.

Dunia kini sudah terlalu tua dan uzur. Umur , entah bila akan berakhir. Sakit pula, hanya boleh dirawat supaya dengan harapan umur mampu dipanjangkan sedikit masa lagi bagi menampung kehidupan. Jika “amukan” semulajadi sering ditunding kepada takdir alam semata, maka ternyatalah bahawa manusia itu yang JAHIL dan ALPA. Kerana, mereka lupa akan akan firman Tuhannya bahawa segalanya tidak datang begitu sahaja melainkan daripada tindakan tangan-tangan manusia itu sendiri.

“Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang nereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat)” ~ 30:41~

“... dan (ingatlah) sesungguhnya apabila kami memberi manusia merasai sesuatu rahmat dari Kami, ia bergembira dengannya; dan (sebaliknya) jika mereka ditimpa sesuatu kesusahan disebabkan dosa-dosa yang mereka lakukan, maka (mereka segera membantah serta melupakan rahmat yang mereka telah menikmatinya, Kerana) sesungguhnya manusia itu sangat tidak mengenang nikmat-nikmat Tuhannya” ~42:48~


ikan-nemo.blogspot.com

2 comments:

Anonymous said...

..........

Anonymous said...

nice