Friday, November 26, 2010

Lembu-lembu?!

Sedang aku dengar lagu nasyid Saujana-ayah ibu- (saja cari mood konon) tiba-tiba teringat satu kisah aku bersama salah sorang adik aku yang comel nih. Hahahaha (gelak dulu sebelum cerita.hihi)

Jap, aku lupa dia yang ke berapa.

Hmm..


..

1, 2, 4, EH!

Owh, ya!

Ke ENAM!

.

Gila. (ni ialah kata-kata hyperbola yang menunjukkan "bengong" sebenarnya ikut kamus aku)


 

Memang. Aku selalu je lupa berapa bilangan adik aku yang sebenar.haha. Umur diorang pun sama kot! Ingat umur diorang kalau budak-budak dok sekolah lagi ja. So, dia adalah ke..hmm. ya, darjah 4!! jadinya 10tahun! Haha. Oh ya, by the way, dia ni lelaki.


 

Okay, back to the main story.

Kk, :P

.

Di suatu hari yang damai semasa aku syok-syok tengah minum dan lepak-lepak di kedai makan ayah aku, tiba-tiba adik yang 10 tahun ni panggil.

"Na, tolong jap bancuh milo.."


 

Aku pun dengan perasaan malas yang melampau terus balas,

"Lah…bancuh la sendiri..! kan reti je bancuh. Senang je kan."


 

Dia reply dengan muka merajuk manja dan simpati.hihi..

"Bancuhla.. Nanti abah marah kami bancuh sendiri.."


 

Sambil buat muka aku bermonolog dalam diri..

"Eleh..alasan la tu. malas je..! pastu nak bermanja-manja pulak. Haih."


 

"Yela, yela..orang tolong bancuhkan..!" aku balas.

Then dia bagi aku bekas yang dia nak letak milo. Aku pun amek. Dia pun terus ke tempat lain.


 

Pastu, tiba-tiba dengar dia jerit.


 

"Kami nak yang lembu-lembu punya!!"

Aku macam pelik..

Then, dengan buat muka pelik aku berpikir, dan terus tanpa membuang masa tanya dia balik.

"Apa hang cakap?!"


 

"Buat yang lembu-lembu punya..!" dia balas.

"lembu-lembu??!" seriously aku blur gila masa tu.

"Ape lembu-lembu tu..?!" Aku tanya balik dengan tanpa rasa bersalah. (yela..xde kaitan lembu dengan milo! Ingat letak susu lembu ka apa budak nih)


 

"cow-cow!! "

"Buat milo kat kami lembu-lembu punya" dia jawab!


 

Aku terdiam. What the..

..

.

Pastu gelak gila-gila..!!! hahahaha! Apekah!


 

Adeh. Boleh plak nak buat "direct translation" camtu.hahaha. Memang la budak nih!


 

Haih..tengah rindu dia pulak.hihi..

Semoga terus membesar jadi budak yang taat pada Tuhan, hormat mak abah, jadi budak rajin dan bijak tau! Sori sangat tak dapat spend masa banyak dengan hang kat rumah. Nanti balik, kita sambung buat kebun okey? :P


 

p/s: I will show you this post when u get a little bit older okeh.haha.

kamus utaQa:

kami: saya

hang: kau/awak

Cinta..

Cinta terkadang bermula dari mata,

Sedangkan rasa SUKA dimulai dari telinga.

Jadi, jika engkau mahu berhenti dari menyukai seseorang, cukuplah dengan menutupi telingamu..

Tapi, apabila engkau cuba menutupi matamu dari orang yang engkau cintai, cinta itu berubah menjadi titisan air mata,

Dan ia terus tinggal di hatimu..

………

Cintailah dan sukailah Tuhanmu.


 

*credit to Ustaz Zawawi Yusoh

Diri ini mula mengenal dan tertarik untuk mendengar ceramah serta ilmu-ilmu islam bermula dari kuliah-kuliah Ustaz Zawawi di kaca TV. Tertarik pada kata-kata di atas yang membuatkan aku terpana pada ayat akhirnya. Benar sekali.

Diri ini sendu kerana terlalu banyak masa telah dihabiskan dengan manusia dan terlalu sikit masa dengan Pencipta.. Banyak masa tersia bukan mencari redhaNya, tapi dipenuhi dengan mencari redha manusia..

Masihkah kamu pasti ada lagi hari esok untukmu?

Bangunlah wahai Sang Musafir! Kamu harus terus berjalan ke destinasi CINTA HAKIKI!


 


 

Monday, November 22, 2010

Tiga minggu tu cukup lama?

Nak habiskan pembacaan buku-buku berikut yang tak habis-habis dalam 3 minggu dari sekarang! (Syarat sebelum boleh beli buku baru akibat dari sindrom suka kumpul buku, dari membaca)

1. Mohamad Nurhakim; Jatuhnya Sebuah tamadun: Menyingkap Sejarah Kegemilangan dan Kehancuran Empayar Khalifah Islam.

2. John C. Maxwell; The 21 Indispensible Qualities Of A Leader.

3. Peter Drucker; Smart Executive.

4. Stephen R. Covey; Predictable Results in Unpredictable Times.

5. Abdul Hamid Jasim Al-Bilaly; Rambu-Rambu Tarbiyah.


 

Mungkin mereka yang dinobatkan sebagai ulat-ulat buku mengatakan "tiga minggu itu agak lama ok….." (sila baca dengan nada sinis, haha)

Tapi, bagi aku yang sememangnya BUKAN ulat ni (sebab ikan, hihi) menganggap masa ini agak singkat! huhu…


 

Aaaaaarrgghh!!


 

Peduli apa.cuba ja!

Tengah mendisiplinkan diri dengan masa yang melimpah ruah.


 

P/S: Tak habiskan tak boleh beli buku baru okay?

Okay, DEAL. K

Never.

Never regret the past. Never.

I have promised myself not to feel that, because sooner or later I will see the "why".

Even though I've painted a picture using the wrong colours, I learnt that it was wrong. I'll not repeat it again. It was a lesson. Yes, there are no mistakes in life, only lessons. Everything happens with reasons.

And yes, the bad days will come again and again. But as long as I let the past go, I believe that I will have a bright future ahead of me.

Rasulullah (peace be upon him) said: "Seek out that which benefits you, seek help only from Allah and never say you can't do it. If any adversity comes to you do not say: 'If I had only acted in such-and-such a way, it would have been such-and-such'; but instead say 'Allah has decreed (it) and what He willed, He has done, for verily (the word) 'if' opens the way for the work of syaitan" (Muslim)


 

Let the past be the past, so that you will benefit the reason why God created tomorrow for you.

"No misfortune or disease befalls a Muslim, no worry or grief or harm or distress – not even a thorn that pricks him – but Allah will expiate for some of his sins because of that."

(Al Bukhari)


 

"Every passing moment is a chance to turn it all around"

Sunday, November 21, 2010

Saja update…

Salam.

Aktiviti penting yang telah berlaku:

1. Banyak dapat buku dari Bro Yusry (pinjam la..hihi) I reeaaaaaaallly appreciate that! Thanx a lot! :D (ni kena beli buku banyak2 then bagi orang lain pinjam pulak..mesti diorang suka..hmm)

2. Termotivasi dengan orang-orang di sekeliling. Rupanya begitu banyak masa aku bazirkan selama ini *sigh* (Haih, tak guna sedih. Bangun je sekarang, jangan pandang belakang dah.. Teruslah melangkah laju, laju, laju dan berlariiii!! JATUH? Bangun balik!! Btw, jangan sesekali assume ada orang angkat. Bangun sendiri.hihi..tu pesanan dari ADIK Fahmi. Baiklah!)

3. Officially dah deactivate Facebook account! (saja test…)

4. Dapat task baru yang lebih mencabar! :D (ini antara yang paling best. Sebab semua benda baru. Owh! I can't wait!)


 

Tu je kot..

Sekian.. :D


 

Friday, October 29, 2010

Suka suki

Dah lama tak menulis kat blog sendiri. Bila jalan-jalan menyinggah blog orang, rasa membara nak update. But, membara kejap je. AMPEH!

Bila ada benda nak cerita, aku rasa ia lebih kepada benda-benda yang merapu je (well, aku sebenarnya tak nak menonjolkan the true colours of me.hahaha) Ok2, fine. Sebab aku rasa macam aku akan suka hati merepek dan menulis benda-benda yang tak berfaedah, better aku senyap, dan bersunyi meninggalkan dunia blog. Blog bersawang, (ni, hyperbola je sebab memang tak penah2 blog ada sawang, bawang ada la.huhu) dan macam sedih membiarkan otak dan fikiran aku berkarat.

Jadi, aku rasa dalam beberapa ketika selepas ini aku berhasrat nak cuba post sesuatu kat sini, asalkan terupdate. Biar "merepek" (aku akan pastikan ia SIKIT je ok) asalkan aku biasakan diri mengupdate. Mungkin dengan cara ni, aku akan lebih rajen mengupdate dan kemudiannya terus mengupdate POST yg LEBIH BERFAEDAAHHH.

Haih. Asalnya nak tulis post ni sebab aku nak bagi tau satu MALAYA, oppss SATU DUNIA yang aku RINDU SANGAT kat MAK aku yang osem!

Rindu, rindu, rindu!

Aku sedang membaca sebuah novel karya Frank McCourt yang bertajuk Angela's Ashes. Kebiasaannya, aku hanya akan membaca di dalam LRT ataupun bas. Tapi, buku ni agak susah untuk aku buat begitu.

Ha, susah!

Kenapa?

Aku takut sebab nanti orang tengok aku pelik sebab aku menangis! Hahaha.. Sedih gila novel ni (ni novel kisah benar ok). Angela (ibu kepada Frank McCourt) selalu menangis, dan mak aku jugak selalu begitu..aku tak paham banyak perkara masa kecik, dan begitulah Frank McCourt masa tu..

Lembaran demi lembaran aku buka, aku makin menyingkap kisah silam dan ia memedihkan.

I miss you so much… And I know you will never read my words here. But, you will always in my dua. ALWAYS!!

Take care mom. I'll be back soon! ('',)


 

Pesanan penaja: hargailah mereka ketika masih ada agar engkau tidak menyesal, sesesal-sesal (eh, ade ke pekataan ni) mungkin di kemudian hari. Sekian.

Thursday, September 30, 2010

Manusia atau Robot?

Semasa melakukan aktiviti rutin, iaitu blogwalking aku terpana kepada satu kata-kata seorang insan yang sudah lama aku tidak mengikuti perkembangannya. Terasa amat lama tidak pergi mendengar forum atau apa-apa ceramahnya. Kali terakhir pun beberapa tahun lepas semasa masih belajar di UM. (aku sedang rindu zaman itu..huhu)

"The university today does not teach people how to think. The students come to university to make money. I always said to my students if you want to be rich don't come to university. The rich Chinese are mostly uneducated. To be rich you are not obliged to be highly educated. You can just pick one spot in KL and start selling Nasi Lemak and trust me your earning will be higher than university's Professor. People come to university in order to be a complete human being, not about making money. When I correct SPM history papers most of the time I will be correcting my own answer schemes. Our education system does not produce human but robots."- Prof Khoo Kay Kim.

Profesor Emeritus Khoo Kay Kim. Aku sangat mengagumi ketinggian ilmu, keberanian dan semangat beliau dalam dunia pendidikan. Membaca kata-kata beliau di atas, membuatkan aku hanya mengangguk, dan terus mengangguk. Wah, benar sungguh!

Tiba-tiba aku merasakan seperti melihat robot-robot begitu banyak sekali berjalan di jalanan. Mereka hanya bergerak dan melakukan aktiviti yang telah diprogramkan di dalam diri mereka, tidak lebih dari itu. Malah kadang-kadang, bila ada kerosakan, langsung terus menjadi pemusnah yang merosakkan benda lain..hmm.. Ia menakutkan.

Tamadun manusia yang hebat dicipta dari keunggulan ilmu zamannya. Keunggulan ilmu zaman, terletak pada institusi pendidikannya. Kehebatan istitusi pendidikan, disokong kuat oleh sistemnya yang hebat. Akan tetapi, jika sistemnya bermasalah?

Aku termenung. Cuba berfikir kemungkinan solusi yang ada.(ya, walaupun aku tidak punya autoriti melaksanakan solusi tersebut, ia mungkin lebih baik dari tidak berfikir apa-apa! "-.-)

Aarghh!! Aku mahu belajar balik!

Sekian!

p/s: Semoga Prof Koo Kay Kim sihat sentiasa dan menerima hidayah dariNya.

Tuesday, September 14, 2010

Bersabarlah..

Bersabarlah..

Entah mengapa aku merasakan kesulitan terhadap beberapa perkara sejak akhir-akhir ini.

Terasa seperti berjalan di panas mentari tanpa bayang diriku ikut bersama.

Sedikit bingung kini :|

Sesungguhnya bersabar itu lebih baik buat diriku. Ya sabar. Diri perlu dikuatkan!

Ya Allah jadikan aku hamba yang sentiasa berharap dan redha padaMu.

Saturday, September 11, 2010

Bersalin kulit seperti ular, agenda “sharpen the saw”.

2 syawal berlalu. Waktu raya aku rasakan agak pack dengan aktiviti yang pelbagai. Makan-makan sampai segah ( sampai perot tak boleh nak masuk dah apa2 jenis makanan), melawat saudara mara, jiran tetangga (walaupun dok sebelah rumah ja, aku jarang jumpa sebab jarang balik kampung.huhu) dan teman-teman adalah antara event utama dalam 2 harini. Agak memenatkan, tapi best. Alhamdulillah.
 

Di awal kepulangan aku di kampung, aku telah memasang niat untuk menggunakan hari-hari di kampung halaman untuk "sharpen the saw"! Aku nak "refresh" balik semua, sambung balik semua neuron-neuron yang dah terputus.
 

Terlalu banyak perkara perlu dirancang. Banyak yang perlukan pengaturan kembali. Tetapkan priority dan sebagainya. Aku perlu jadi gila-gila seperti dulu, malah jauh lebih gila! :P
 

Kadang-kadang aku selalu terfikir, alangkah bagus kalau masa boleh diputarkan? Mungkin ia idea minda nobita yang biasa, tapi itu punca dan tanda aku lupa pada Tuhan yang Maha Bijaksana dan Maha Mengetahui sebagai pencatur massa. Kerana idea gila itu, akhirnya aku sedar dan yakin bahawa segala yang telah ditentukan Tuhan (samada baik atau buruk) itulah yang terbaik.
 

Ini masa untuk "sharpen the saw"!
 

Ya Allah, bantulah aku.


Tuesday, September 7, 2010

Dulu dan kini

Usai menyidai kain pada tengahari rembang di halaman rumah, seketika aku terimbau kenangan lalu. Semasa zaman muda-muda, semasa masih kanak-kanak ribena menyambut hari raya. (disclaimer: sidai kain tengahari bukan sebab aku malas, tapi sebab pagi tu hujan.Taiping, hari-hari hujan! :P ) Hari raya sungguh meriah. Maklumlah, dalam masyarakat kita memang sinonim, apabila musim perayaan budak-budak la yang paling best beraya. Semua benda baru. Hujung kaki sampai hujung rambut. Mungkin luar dan juga dalam! Haha. Jumpa kawan, jalan-jalan kumpul duit raya, makan 1001 jenis makanan, main bunga api, macam-macam aktiviti. Hari-hari terisi dengan kegiatan yang best dan rasa happy. Hari raya memang best, takde yang tak best
 

Setiap tahun aku beraya di kampung. Ia bukan sebab aku balik kampung tiap-tiap tahun, tapi memang rumah aku di kampung. Cuma sejak merantau belajar, aku tinggal jauh dan hanya pulang ke kampung halaman (iaitu rumah sendiri) tiap-tiap kali Aldilfitri. Pernah dulu bertanya kat mak, kenapa aku sekeluarga tak pernah pulang ke kampung bila hari raya? Mak aku jawab balik yang kita memang tinggal di kampung nak pegi mana dah? Aku memang tak puas hati dengan jawapan tu, dengan mengatakan yang kawan-kawan lain semua ada kampung. Diorang best je balik raya sana sini. Aku je dok rumah, konon tak dapat kemana-mana. Dan perasaan tak puas hati terus ada sampai sekarang :P (sekarang dah bersyukur sebab memang ramai je orang menetap di bandar, xde kampung halaman pun.bersyukur3X! )
 

Biasanya event yang best bermula pada penghujung puasa, menjelang raya. Dulu pelita buat sendiri. Siang tu pegi cari batang buluh yang sesuai, batang payung untuk dibuat pemegang sumbu pelita dan sumbu pelita dibeli di kedai. Batang buluh tu kemudiannya ditebuk kira-kira 3 lubang dalam satu ruas. Isi minyak tanah dalam lubang, pasang sumbu siap-siap dan tunggu malam! :D halaman rumah aku agak luas. Rasa boleh parking kira-kira 10 biji kereta. Jadi, banyak la pelita yang diletakkan. Tak semua pelita dibuat sendiri. Ada jugak yang dibeli. Jadi, combine semua, susun keliling rumah. hehe. Pemandangan malam, aku rasa indah! (btw, pelita tak dapat attract malaikat untuk datang rumah. Itu mitos melayu :P)
 

Selesai dengan pelita, tiba masa bermain bunga api dan mercun. Aku cuma enjoy main bunga api, tapi lama-lama rasa bosan.huhu.. nak main mercun, tak berani. Takut termeletup kat tangan sendiri.hahaha.. Cuma beberapa orang je yang main mercun dikalangan aku dan kawan-kawan. Tekong kumpulan adalah orang yang bertanggungjawab memainkan peranan mendapatkan bekalan mercun-mercun tersebut. Dan kemudian, dia jugak yang letupkan hampir kesemuanya. Bab-bab ni aku memang tak kesah sebab aku sendiri yang takut nak main.hahah :P
 

Malam raya adalah sangat best. Biasanya ada event bakar ayam kat luar rumah. Kali ni ayah aku terlibat sebab memang dia yang buat semua. Aku cuma tolong kipas siket-siket dan tinggalkan ayam tu (sebab malas dah nak tunggu dia masak, lama sangat) kemudian datang kembali untuk makan! Mungkin aku akan dilabel sebagai anak yang malas, tak tolong masak pun. Hihi..tapi stended la masa tu memang kanak-kanak ribena lagi, sampai mak masak apa untuk hari raya pun tak tau. Cuma seingat aku mak mintak tolong tumbukkan kelapa goreng utk dibuat kerisik. Itu je..hahaha (btw, menumbuk kerisik memang speciality aku semenjak kecik. Tiap-tiap tahun itu la kerja yang boleh aku buat untuk tolong mak kat dapur :P )
 

Ha, ayam yang dibakar tu ayam kampung yang dibela sendiri. Gila penat mengejar dan memerah otak membuat perangkap nak tangkap ayam-ayam tu. Ayam kampung memang tak dikurung, berkeliaran sekitar kawasan rumah dan belukar berdekatan. Perangkap ayam kerja aku. Adik-adik setia menjadi pembantu tetap kat belakang. Biasanya dalam dua atau tiga ekor diperlukan untuk disembelih. Sebahagian lagi akan dimasak rendang (terliur pulak teringat rendang puasa-puasa ni..) Nak tangkap ayam saja kadang-kadang boleh makan masa sehari dua..haha.tapi, biasanya satu hari dah selesai la.. :P bila ayam dah ditangkap dan selesai disembelih kerja cari kayu api pulak. Biasanya dahan pokok rambutan digunakan, sebab memang senang nak dijumpai. Kayu-kayu pokok lain pun boleh, cuma kayu dari pokok kekabu yang tak boleh digunakan. Kayu kekabu beracun, jadi kena pandai pilih yang mana satu yang boleh diguna yang mana tak boleh. Aku agak biasa dengan kayu dan pokok-pokok yang berada di kawasan rumah, jadi ia tidak menjadi masalah untuk melakukan pemilihan :D
 

Terlalu banyak kenangan dulu yang indah.. Tapi, itu dulu..

Kenangan silam itu masih ku ingat. Kadang-kadang tersenyum sendirian dengan gelagat zaman kanak-kanak. Bila refresh balik semua dengan adik-adik, pasti ada cerita baru yang baru terbongkar kini.hahaha..
 

Kini,

Semakin lama aku tidak merasai hari raya itu seperti "dulu". Ternyata aku sebenarnya merindui zaman itu. Zaman yang mungkin aku selalu rasa happy, tak fikir apa-apa..mungkin. Mungkin aku dah dewasa, bukan budak-budak lagi untuk merasa "feel" raya zaman ribena yang mana aku sudah tidak lagi disibukkan dengan perkara-perkara yang "best" tu.haha. Dan mungkin juga beberapa tahun kebelakangan ini baru aku terasa dan menghargai erti puasa yang sebenar. Mengapa ramadhan berpuasa, mendidik aku mengenal Tuhan.
 

Saat ini, aku mula merasai kesedihan kerana ramadhan bakal berlalu. Kadang-kadang, aku juga merasa sedih kerana baru sekarang aku mengerti dan mengenali ramadhan. Namun, itu bukan penyesalan. Ia nikmat. Aku belajar membeza bandingkan kegembiraan yang hakiki. Aku mula mengenal nikmat kegembiraan yang sebenar, yang mana aku perlu tahu yang Tuhan sentiasa sayangkan diriku dengan sentiasa memberikan yang terbaik padaku pada setiap keadaan, detik dan masa.
 

Segalanya indah, andai kita sentiasa bersyukur.
 

Thank you Allah.

Wednesday, September 1, 2010

Kosong.

Saja nak membazir ruang.

Banyak benda nak tulis. Tapi, aku sudah menjadi semakin bagus dalam tidak menepati janji T______________T

Menyesal.

Namun setiap yang berlaku ada pengajaran.

[Ok, baiklah!! ]

p/s: Perlu selalu berdoa dan sentiasa berusaha untuk sentiasa menjadi lebih baik. Aku lalai berdoa barangkali.

Wednesday, July 28, 2010

Pengumuman!

Bersempena hari yang bersejarah ini, rasa nak amek kesempatan untuk memberitahu seluruh alam (kononnya) yang aku akan update blog ni dua kali seminggu!!

Ok, itu sahaja. Sekian.

Eh, Btw, sebelum terlupa,

Ada lagi satu yang PENTING!

Blog ini adalah blog penulisan peribadi penulis yang mana ianya mungkin akan berkisar mengenai kehidupan seharian, isu semasa dan apa-apa yang di rasakan best/sesuai oleh penulis (nEmo).

DAN

Blog ini tidak mencerminkan pendirian PERKIM Ampang.

:D

Sekian.


 

nEmo

Wednesday, June 23, 2010

Countdown!

Tengah countdown untuk hari bersejarah. Haha~ (bersejarah la sangat..)
 

Entah kenapa rasa sangat best memikirkan apa yang aku nak buat lepas resign dari kerja sekarang ni. Huh, orang dok sibuk-sibuk nak cari kerja, aku suka hati resign tanpa memperdulikan sangat nak kerja apa lepas ni T_T tak pe..kalau pandang sudut positif, aku memberi peluang kepada orang lain untuk kerja. Mungkin mereka lebih memerlukan :P
 

Apa yang penting adalah rasa sangat BEST! Perasaan yang sukar nak digambarkan. Mungkin ramai yang x paham akan perasaan tu. tapi, tak pela..diri sendiri rasa dah cukup.haha..

Walaupun perkara yang pasti berlaku adalah keserabutan memikirkan masalah kewangan, tapi itu masalah nombor 2.
 

Ok, saja nak inform semua orang tengah seronok sebenarnya :P

 

Bai~

Monday, June 14, 2010

Kadang-kadang mungkin binatang lebih baik (-.-)

Post ini di tulis di saat baru selesai melihat seorang ibu memaki hamun anaknya yang baru berusia kira-kira 3 tahun.

Ini bukanlah kali pertama aku melihatnya, dan aku juga lupa sudah berapa kali aku menonton aksi seperti itu sepanjang hidup ini. Memaki hamun, lalu menghalau anak sekecil itu dengan menggunakan kata-kata kesat untuk keluar rumah, aku terpaku memerhatikannya, cuba berfikir sebab-sebab yang munasabah seorang ibu melakukan aksi yang sedemikian rupa.

Baru sebulan aku di sini, berpindah ke kawasan perumahan baru meninggalkan kondo Hillpark yang sudah lebih setahun aku menyewanya bersama kawan-kawan. Kondo yang selesa kepada rumah flat yang sederhana. Suasana baru, aku hanya suka memerhati dan melihat gelagat manusia. Masih tidak ramai yang aku kenali di sini, hanya sekadar memberikan senyuman kepada yang sepatutnya dan agak jarang bertegur sapa kecuali kepada jiran sebelah rumah. Tetapi hanya jiran di sebelah kanan, tidak kiri. Setelah melihat apa yang berlaku di pintu rumahnya tadi, tiba-tiba rasa macam takut pulak mahu cuba menegurnya. Aku langsung tidak tahu siapa yang tinggal di rumah itu kecuali seorang lelaki tua, dan seorang perempuan muda bersama kanak-kanak itu memandangkan pintu rumahnya yang jarang dibuka. Aku mengandaikan anak kecil itu adalah anaknya.

Menurut adikku yang menyewa bersamaku, kejadian tadi adalah rutin. Hari-hari memang begitu. Aku jarang mendengarnya oleh kerana di siang harinya aku bekerja, hanya ada di rumah di waktu malam.

Tertekankah ibunya? Hm..hari-hari tertekan dengan anak. Mungkin. Tertekan dengan masalah kewangan lalu melepaskan geram pada anak? Itu juga mungkin. Hobi dia memang marah-marah, sebab tu dia marah setiap hari? Gian? Mungkin.. Apa yang aku pasti kanak-kanak itu tidak memahami maksud kata-kata yang dilemparkan kepadanya. Langsung tidak. Kecuali dia hanya tahu, dia sedang dimarahi dan tidak disukai dan hanya boleh mengekspresikan perasaanya itu dengan menangis.

Aku jemu membazir masa memikirkan sebab kehilangan kewarasan wanita itu setiap hari, lantas terfikirkan nasib kanak-kanak itu. Hari-hari menangis, dan dilemparkan kata-kata kesat pasti menganggu emosinya. Kain yang putih itu telah diconteng barangkali. Kasihan. Aku juga terfikir akan tanggungjawabku sebagai jiran, apa bantuan yang boleh aku berikan buat mereka. Mungkin aku perlu cuba bertegur sapa, lalu mungkin dapat berkongsi sedikit masalah dan kemudian cuba membantu? Hm..mungkin juga orang akan berkata jangan jaga tepi kain orang. Tetapi, rasanya aku telah di ajar bahawa sememangnya Islam menyuruh "jaga tepi kain orang" bukan "jaga dalam kain orang"! Itu adalah dua benda yang berbeza.

Mungkin ia pemandangan biasa bagi sebahagian orang, atau mungkin juga rutin biasa bagi sebahagian orang untuk memperlakukan kanak-kanak yang belum mengerti banyak benda dengan keadaan yang begitu. Mungkin mereka mempunyai banyak sebab untuk menjustifikasikan apa yang mereka buat itu adalah cara terbaik untuk "mendidik". Rasanya binatang mempunyai cara yang jauh lebih baik "membela" anak-anaknya. Belum pernah aku melihat binatang-binatang melakukan kekejaman kepada anak sendiri, walaupun dia "berstatus" binatang buas. Entahla..kadang-kadang bingung rasanya melihat manusia menggunakan kelebihan akal ini.